Keringat Jalanan ialah dokumentari ringkas yang mengetengahkan kisah sebenar di sebalik wajah-wajah peniaga kecil di jalanan. Siri ini menyoroti sisi manusiawi mereka sebagai pencari rezeki dan bukan semata-mata sebagai peniaga.

Setiap episod membawa anda menyusuri perjalanan hidup yang sarat dengan liku, membongkar realiti yang jarang diselami. Inilah suara mereka yang jarang didengar – penuh keringat, penuh jiwa.

Ikuti episod Keringat Jalanan:
+ Cari rezeki dari boot, ibadah di usia emas
+ Setiap Jahitan, Doa Yang Tersembunyi
+ Kopi Bergerak Rasa Jalanan
+ Rezeki Sebuah Lukisan
+ Impian Tak Mati Meski Reban Pernah ‘Runtuh’

Keringat Jalanan:

Cari rezeki dari boot, ibadah di usia emas

Wak Usop bukan sekadar peniaga jalanan

Dalam deretan kenderaan yang berhenti di tepi jalan, terselit satu pemandangan luar biasa iaitu seorang lelaki warga emas berusia 77 tahun, tenang berniaga lauk-pauk tengah hari dari ‘boot’ keretanya. Itulah Wak Usop.

Wak Usop bukan sekadar peniaga jalanan.

Dia adalah lambang ketulusan seorang insan yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama, sebaliknya menjadikan berniaga sebagai wadah mengutip pahala dan berkongsi rezeki.

Segala resipi yang digunakan adalah warisan keluarganya yang kini menjadi santapan orang ramai. Bagi Wak Usop, setiap hidangan bukan hanya sekadar makanan, tetapi kasih sayang yang disalurkan dalam bentuk lauk-pauk.

Meskipun usianya sudah lanjut, semangat Wak Usop tidak pernah pudar. Setiap hari, dia bersama pembantunya memandu ke lokasi biasa di Subang Jaya, membuka ‘boot’ kereta, dan mula berniaga dengan penuh ikhlas.

"Pelanggan saya tak nak baki, jadi kumpul-kumpulkan (baki) dan buat jamuan untuk kariah masjid."

Kisah Wak Usop mengingatkan kita bahawa erti sebenar berniaga bukanlah semata-mata pada angka keuntungan, tetapi pada nilai kemanusiaan yang terselit dalam setiap pinggan yang disuap.

Keringat Jalanan:

Setiap Jahitan, Doa Yang Tersembunyi

Setiap jahitan tukang kasut ada doa tersembunyi

Di celah deretan kedai, kelihatan seorang warga emas duduk bersahaja di atas bangku kecil bersama payung kecilnya dan dikelilingi peralatan membaiki kasut.

Itulah Pak Saiful, 59 tahun, yang saban hari mencari rezeki sebagai tukang kasut di kaki lima, meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk pelanggan yang tidak membayar upahnya.

Menjadikan kaki lima di Sri Petaling sebagai ‘bengkel tetapnya’, beliau masih setia menunggu pelanggannya lebih dua dekad walaupun pendapatannya tidak menentu.

“Kadang-kadang ‘customer’ cakap nanti datang bayar tetapi tak datang balik. Saya ikhlaskan saja, kira nasib. Saya terima saja”

Di sebalik wajah yang penuh kerut dan tangan yang kasar akibat kerja bertahun-tahun, tersembunyi cerita kekuatan luar biasa.

Bagi Pak Saiful, setiap kasut yang diperbaiki bukan sekadar mata pencarian, tetapi juga lambang tulang belakang kehidupannya di kota Kuala Lumpur.

Keringat Jalanan:

Kopi Bergerak Rasa Jalanan

Setiap pengakhiran adalah permulaan baharu

Keputusan meninggalkan pekerjaan menerusi Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bukanlah pengakhiran bagi Iqbal Halim Yatim.

Sebaliknya, ia menjadi titik tolak permulaan baharu, sebuah perjalanan berani yang bermula dengan sebuah van dan mesin kopi kecil di Puchong.

Minat mendalam terhadap kopi menjadi nadi usaha ini.

“Tanpa latar belakang perniagaan, hanya berbekalkan semangat dan tekad, beliau menjadikan jalanan sebagai ‘kafe’ terbuka, menyajikan secangkir harapan dalam setiap hirupan.”

Van kopi bergeraknya bukan sekadar sumber pendapatan tetapi lambang kecekalan anak muda yang memilih untuk bangkit, walau diuji kehilangan.

Iqbal membuktikan bahawa selepas kehilangan, masih ada ruang untuk mencipta kehidupan yang lebih bermakna.

Keringat Jalanan:

Rezeki Sebuah Lukisan

Hasil tangan, capai angan-angan

Bukan galeri mewah, bukan pentas glamor.

Cukup di tepi jalan, di bawah langit kota,
Putra Pelukis mengukir wajah menerusi pensilnya.

Sejak usia 14 tahun di kaki Bukit Bintang, dia melakar bukan sekadar raut wajah tetapi ‘jiwa’ manusia yang singgah di tapak kaki lima di mana tempat dia memerah keringatnya.

“Saya mahu mengembara, nak tengok muka-muka manusia di luar dan dengar cerita mereka dan berkarya mengenainya”

Berbekalkan bakatnya itu pada usia 21 tahun, Putra Aqmal Danish Mohd Zuraimi boleh dikatakan simbol kegigihan anak muda dalam mengejar impian dengan hasil seninya.

Keringat Jalanan

Impian Tak Mati Meski Reban Pernah ‘Runtuh’

Tersungkur Bukan Noktah, Bangkit Semula

Pernah tersungkur ditipu rakan kongsi, modal perniagaan lebur, tenaga dan semangat seakan hilang. Itulah detik gelap yang pernah dilalui Muhamad Fajar Mahmudin dalam perjalanannya membina perniagaan ternakan ayam.

Namun bagi Fajar, kegagalan bukan noktah terakhir. Ia menjadi titik tolak untuk dia bangkit semula, perlahan-lahan membina kembali apa yang pernah musnah.

Setiap langkahnya membuatkan dia lebih berhati-hati dan setiap keputusan yang dibuat kini berdasarkan pengalaman pahitnya.

“Jangan putus asa. Guna peluang sebaiknya. Pengalaman ditipu jadikan pengajaran. Perniagaan ini tiada yang senang. Orang cakap berniaga senang tapi sebenarnya buat untung bukan senang”

Di bawah panas mentari dan dingin subuh, dia kembali mengorak langkah. Setiap ayam yang dibela, setiap peluh yang menitis semuanya menjadi saksi bahawa menyerah kalah bukan pilihan.

Walaupun belum sampai ke puncak kejayaan, Fajar kini berdiri lebih kukuh daripada ‘semalam’. Perjalanan hidupnya membuktikan bahawa kegigihan, kecekalan dan semangat untuk terus mencuba adalah kunci utama untuk bangkit dari kegagalan.

KANDUNGAN OLEH:
Faliq Lajim, Malek Jamaluddin, Asyraf Yatim, Faiz Firdaus, Nuraqilla Erika

PEMBANGUNAN LAMAN WEB:
Zaireen Zohadie

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.